Sejarah Siti Nurhaliza Productions

Siti Nurhaliza menubuhkan syarikatnya bagi menguruskan kerjayanya selain untuk membalas jasa keluarganya.

Syarikat rakaman Suria Records (SRC) telah menguruskan perjalanan seni muzik Siti Nurhaliza selama lebih 3 tahun. Oleh kerana bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail menandatanganinya sebagai artis rakaman, ini bermakna beliau bebas memilih pasukan pengurusannya sendiri. Maka pada 12 Januari 1998, sehari selepas ulangtahun kelahiran beliau yang ke-19, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. telah ditubuhkan sebagai sebuah pasukan pengurusan rasmi bagi menguruskan kerjaya muziknya.

Menurut Siti, ibu bapanya, Siti Salmah Bachik dan Tarudin Ismail ialah orang kuat SNP, manakala adik-beradiknya termasuk beliau sendiri bertindak sebagai ahli Lembaga Pengarah dan ia adalah perniagaan keluarga yang dihadiahkan oleh Siti bagi membalas jasa keluarganya terhadap kerjayanya.

Biarpun memiliki syarikat dan pasukan pengurusannya sendiri, Siti Nurhaliza tetap bernaung di bawah Suria Records sehingga kontraknya sebagai artis rakaman, tamat pada 2005.

Pada 2004, SNP mula bergiat aktif menerbitkan rancangan televisyen. Muzikal Aidiladha ialah rancangan televisyen pertama yang diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Productions. Selepas itu, muncul pula rancangan Siti Nurhaliza 3D (Siti Nurhaliza Dari Dalam Diri) yang berkisarkan kehidupan peribadi Siti Nurhaliza dengan 13 episod yang bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Pada tahun yang sama, SNP menerbitkan rancangan Sukan dan Selebriti, sebuah rancangan yang melibatkan artis-artis popular tanahair dan personaliti sukan dalam pelbagai bidang yang bersiaran sebanyak 26 episod.

Pada 2006, SNP mula menerbitkan album Siti Nurhaliza, Transkripsi ialah album pertama Siti yang diterbitkan oleh SNP dan diterbitkan bersama oleh Suria Records, dan kemudiannya diikuti oleh Hadiah Daripada Hati (2007), Lentera Timur (2008) dan album seterusnya.

Pada 2008, Siti Nurhaliza Productions mengambil kumpulan Coda sebagai artis naungan mereka, menjadikan mereka artis berkumpulan pertama di bawah SNP, dan seterusnya kumpulan itu muncul dengan album Retorik Audio setahun berikutnya.

Pada 2011, Siti Nurhaliza mengumumkan kerjasama syarikatnya dengan Universal Music Malaysia dengan memperkenalkan single "Galau", sambil menyatakan akan bernaung di bawah Universal selepas tidak lagi terikat dengan syarikat rakaman lamanya, Suria Records. Album ke-16 Siti, Fragmen telah dikeluarkan pada 30 Jun 2014 dan merupakan album pertama Siti hasil kerjasama SNP dan Universal.

Pada Mei 2013, Dato’ Siti Nurhaliza melancarkan laman web rasmi beliau iaitu Siti Nurhaliza Official menerusi laman web rasmi di www.simplysiti.com.my.[3] Beliau telah menggabungkan segala maklumat serta aktiviti-aktiviti menarik mengenai syarikat rakamannya sendiri iaitu Siti Nurhaliza Productions, produk kecantikan SimplySiti dan juga laman peminat beliau iaitu SitiZoners di dalam satu laman web yang sama.[3]

Pada Februari 2014, SNP dengan kerjasama Artelier Gallery, Publika, Kuala Lumpur menganjurkan pameran pertamanya yang diberi nama SITI: An Iconic Exhibition of Dato’ Siti Nurhaliza, sebuah pameran seni lukisan yang diadakan selama sebulan, dari 27 Februari hingga 26 Mac, yang bertujuan untuk mengumpul dana untuk Yayasan Nurjiwa.

Pada Jun 2016, Siti Nurhaliza Productions menandatangani kontrak memorandum persefahaman dengan i-Mizu (pengeluar minuman kesihatan) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Dulu arwah ayah saya (Tarudin Ismail) ialah tempat tertinggi dalam Siti Nurhaliza Productions, begitu juga dengan emak (Siti Salmah Bachik). Mereka berdua adalah bos kami, saya sebagai pekerja, saya menjalankan tugas saya. Dan ini sebenarnya adalah perniagaan keluarga yang saya hadiahkan untuk membalas jasa baik keluarga saya.

— Siti Nurhaliza semasa ditemuramah dalam rancangan dokumentari biografinya di The History Channel.

Rujukan

WikiPedia: Siti Nurhaliza Productions http://www.astroawani.com/news/show/siti-an-iconic... http://www.budiey.com/gambar-siti-nurhaliza-di-pel... http://www.budiey.com/profile-kumpulan-coda-artis-... http://www.ohbulan.com/dato-siti-nurhaliza-perkena... http://sitizone.com/ http://sitizone.com/sz/index.php?option=com_conten... http://www.gua.com.my/hiburan/berita-hangat/Siti_N... http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2008/... http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/... http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/...